Friday, February 25, 2011

Osteoporosis dan masalah kepatahan tulang


Osteoporosis.  Saya yakin anda semua sudah biasa mendengar perkataan itu kan? Apakah yang tertera di fikiran anda apabila seseorang menyebut "osteoporosis"? Imej yang selalu kita kaitkan  adalah seorang wanita tua yang bongkok, berjalan dengan menggunakan tongkat (macam nenek kebayan!) 

Osteoporosis dengan sendirinya tidak menimbulkan banyak masalah. Sesungguhnya, osteoporosis, seperti tekanan darah tinggi, selalunya tidak mempunyai simtom atau gejala. Ia hanya tatkala pesakit  terjatuh dan mengalami keretakan atau kepatahan tulang  yang masalah osteoporosis ini timbul.

Ingin saya memberi contoh. Awal minggu ini, saya telah dipanggil untuk ER. Seorang  makcik berumur  85 tahun telah tergelincir dan jatuh di salah satu pasar raya berdekatan sini. Dia tidak dapat berjalan setelah jatuh dan mengadu sakit yang teruk di sebelah pinggul kanan.  Actually, kalau pesakit itu seseorang wanita muda, maybe dalam lingkungan 20-an, beliau tidak akan mengalami apa-apa kecederaan. (okey lah, mungkin ada lebam sedikit dekat punggung ..) Akan tetapi, pesakit ini adalah dari golongan warga tua; dia  mempunyai tulang yang rapuh disebabkan osteoporosis, maka kejatuhan minor ini berkemungkinan tinggi membawa kepada keretakan atau kepatahan tulang. 


Jadi, berbalik kita kepada wanita tua ini.  Selepas bercerita sedikit  dan membuat pemeriksaan yang singkat, saya mengalihkan perhatian saya kepada X-ray beliau. Gambar itu telah mengesahkan apa yang saya syaki sebelum ini: pesakit telah mengalami patah pinggul kanan.

Bagi seseorang yang mempunyai masalah osteoporosis,  lazimnya tulang mengalami patah di tiga tempat yang biasa di badan: Pergelangan tangan, tulang belakang dan pinggul. Antara ketiga-tiga ini, patah tulang  pinggul merupakan masalah yang paling mengaibkan.  Selain daripada menanggung kesakitan, seseorang yang mempunyai masalah patah tulang pinggul biasanya terlantar di katil melainkan pembedahan dilakukan untuk membetulkan keadaan. (Anda masih boleh berjalan jika anda mengalami patah pergelangan tangan, kan?) 

Usia bukan sahaja meningkatkan risiko osteoporosis, tetapi ia juga meningkatkan risiko kejatuhan. Ini adalah kerana warga tua mempunyai faktor tertentu seperti dibawah:
Ubat-ubatan yang mereka makan boleh menyebabkan mengantuk, dan beberapa jenis ubat untuk merawat tekanan darah tinggi boleh menyebabkan kejatuhan sementara tekanan darah ketika mereka bangun dari katil.
Penglihatan yang kabur mungkin menyebabkan kaki mereka tersangkut di lantai ataupun semasa menaiki tangga, terutama  di kawasan-kawasan yang kurang dinyalakan pada waktu malam.
Jisim otot berkurangan sekadar dengan peningkatan umur, dan boleh membawa kepada masalah dalam perseimbangan badan. Begitu juga refleks menjadi lebih perlahan, oleh itu menjadikan ia sukar bagi warga tua untuk membetulkan ketidakseimbangan badan dengan cepat. 

Selepas mendengar cerita diatas, anda mungkin bertanya jika kita boleh melakukan sesuatu tentang perkara ini.  Jika anda tujukan persoalan itu kepada saya, saya akan menyatakan bahawa, selain dari pencegahan dan rawatan osteoporosis , mengurangkan risiko kejatuhan  tidak kurang pentingnya dalam penjagaan seseorang individu yang mengalami osteoporosis dan fakta ini tidak sewajarnya diabaikan.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment