BOLEH DOC CERITAKAN SEDIKIT
PASAL PEMBEDAHAN INI.
Okay pertama sekali saya
perlu tekankan bahawa ini bukan pembedahan yang kecil. Prosedur ini mengambl
masa selama lebih kurang satu setengah hingga dua jam. Semasa pembedahan ini,
sendi lutut pesakit akan dibuka dan tempurung lutut ditolak ketepi supaya
hujung sendi dapat dilihat. Hujung tulang peha (femur) dan tulang betis (tibia)
itu dipotong dan hujung yang dipotong itu dipasang dengan lapisan besi. Antara
kedua- dua lapisan besi ini diletakkan pelapik plastik supaya sendi tu dapat
bergerak dengan licin. Tempurung lutut itu diletakkan kembali dan keseluruhan
sendi itu dicuci dan akhirnya dijahit tutup semula.
ADAKAH TERDAPAT RISIKO
PEMBEDAHAN?
Seperti mana mana pembedahan,
mahupun kecil ataupun besar, semuanya mempunyai risikonya tersendiri.
Terpulanglah kepada doctor pakar untuk mengurangkan risiko ini atau menangani
masalah itu jika terjadi.
Antara komplikasi utama selepas
pembedahan:
- Sakit ditempat bedahan
- Perdarahan
- Jangkitan kuman di luka
- Darah beku di kaki
Namun begitu, pada amnya, risiko untuk mendapat komplikasi
pembedahan adalah hanya disekitar 1%-5%, dan doktor sentiasa mengambil langkah
proaktif untuk menghalang dari wujudnya komplikasi tersebut.
BERAPA LAMAKAH SAYA PERLU
BERADA DI HOSPITAL?
Mengikut kebiasaan jika saya
menjalankan pembedahan, pesakit akan berada di hospital selama 4 hari 3 malam, iaitu
semalam sebelum pembedahan dan dua malam selepas pembedahan. Doktor pakar lain
mungkin mempunyai protocol mereka tersendiri.
BILAKAH SAYA BOLEH BERJALAN
MACAM BIASA? SEMBAHYANG BAGAIMANA?
Ingin saya menyatakan
walaupun bahawa sakit akan berkurangan dalam masa terdekat selepas pembedahan, dan
dibenarkan berjalan sejurus selepas keluar hospital (walaupun dengan bantuan
tongkat), bengkak di bahagian lutut akan mengambil masa untuk surut. Proses ini
mengambil sehingga dua hingga tiga bulan, oleh itu pesakit boleh menjangka akan
mendapat berjalan seperti biasa dan bengkok lutut sepenuhnya hanya selepas anggaran
dua bulan. Perlu diingatkan bahawa fisioterapi merupakan satu rawatan integral
selepas pembedahan dan dapat menolong dalam mengawal bengkak sendi serta
meningkatkan pergerakan dalam sendi baru pesakit itu.
Untuk pengetahuan pesakit
berugama Islam pula, di pasaran terdapat sesetengah ‘implan’ yang berjanji
boleh memberi lutut membengkok sepenuhnya untuk
duduk antara sujud, ataupun bertimpuh dan bersila. Walaupun begitu,
factor pesakit, teknik pembedahan, dan terapi selepas pembedahan semua
memainkan peranan untuk mencapai matlamat seperti yang dijanjikan. Saya
cadangkan bahawa pesakit berbincang dengan doctor pakar tentang perkara ini.
BERAPA LAMA PULAK IMPLAN INI
BERTAHAN?
Seperti yang disebut sebelum
ini, Implan yang dimasukkan dalam sendi lutut terdiri dari aloi besi dan
plastic. Seperti juga sendi asal pesakit, sendi baru ini akan menghadapi tekanan dari aktiviti rutin harian pesakit
dan lama kelamaan akan haus juga. Purata jangka hayat implant ini bertahan adalah
dalam jangka masa 20-30 tahun sebelum ia perlu diganti lagi. Jangka hayat ini
mungkin berkurangan jika pesakit menjalankan aktiviti lasak yang memberi stress
yang tinggi kepada lutut.
Akhir kata, pembedahan gentian lutut ini mampu memberi
kualiti kehidupan yang lebih baik kepada pesakit yang mengalami sakit arthritis
sendi lutut.
No comments:
Post a Comment