Sunday, March 6, 2011

Wanita dan risiko masalah Osteoporosis


Gejala kerapuhan tulang atau osteoporosis merupakan masalah tulang yang kerap dihadapi oleh golongan wanita. Di Amerika Syarikat, 10 juta penduduk yang berusia lebih dari 50 mengalami masalah osteoporosis, dan 80 peratus daripadanya golongan wanita.
Apakah dia Osteoporosis?
Osteoporosis merupakan suatu keadaan dimana terdapat kehilangan jisim tulang berserta dengan bahan mineral di dalamnya. Ini selalunya berkait rapat dengan peningkatan usia dan menopaus di kalangan wanita; walaubagaimanapun, banyak faktor lain yang boleh menimbulkan masalah osteoporosis seperti yang kita akan lihat dalam perbincangan di bawah. 
Apakah kepentingan osteoporosis ini
Osteoporosis dengan sendirinya tidak mendatangkan banyak masalah. Sesungguhnya, seperti penyakit  darah tinggi, osteoporosis selalunya tidak menunjukkan gejala atau symptom tersendiri. Disebabkan pengurangan dalam jisim dan mineral, tulang akan menjadi lebih rapuh dan berisiko tinggi untuk mengalami kepatahan. Hanya apabila seseorang itu jatuh dan mengalami patah tulang, barulah ia sedar yang ia mempunyai masalah osteopososis.
Dianggarkan lebih dari separuh daripada wanita yang berusia 50 tahun keatas akan mengalami patah tulang disebabkan masalah osteoposrosis. Bagi yang mengalami osteoporosis ini, lokasi utama patah tulang adalah di pergelangan tangan, di tulang belakang, dan juga di sendi pinggul. Warga tua yang mengalami patah tulang boleh terlibat dengan bermacam komplikasi.
Patah di sendi pinggul merupakan suatu yang amat memudaratkan. Pesakit harus dimasukkan ke hospital, dan lazimnya pembedahan disyorkan untuk membetulkan keadaan patah itu. Selagi pembedahan tidak dijalankan, pesakit  tidak boleh berjalan, dan disebabkan sakit di pinggul, mereka akan terlantar di katil. Ini akan menimbulkan bermacam masalah, khususnya jangkitan paru-paru, darah beku di saluran darah dan kekadang juga luka “bedsore” di belakang badan jika tidak dirawat dengan teliti. Juga ingin di nyatakan disini bahawa mengikut statistik, 20% yang mengalami patah tulang pinggul meninggal dunia disebabkan masalah berkaitan dengan patah tulang tersebut.
Mengapakah wanita lebih kerap mengalami masalah osteoporosis ini.
Kalsium, seperti kita sedia maklum merupakan bahan mineral yang penting untuk membina dan menampung kekuatan tulang. Kandungan kalsium di dalam badan paling tinggi pada peringkat umur 30 tahun dan ianya akan berkurangan setiap tahun. Hormon wanita, iaitu estrogen,  memainkan peranan penting di dalam metabolisme kalsium dalam badan. Apabila seseorang wanita itu mencapai peringkat menopaus, kandungan  hormon ini di dalam badan akan berkurangan. Justeru kandungan kalsium turut berkurangan, dan ini membawa kepada keadaan dimana tulang menjadi rapuh, dikenali sebagai “post-menopausal osteoporosis” Oleh itu wanita yang putus haid mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat kepatahan tulang berbanding lelaki yang sama umur.
Risiko untuk mendapat osteoporosis
Seperti yang kita lihat diatas, wanita terkandung dalam kategori risiko tinggi mendapat osteoporosis disebabkan kekurangan hormon semasa putus haid atau menopause. Sungguh pun begitu, ada lagi factor-faktor di kalangan wanita yang akan meninggikan keberangkalian mendapat osteoporosis ini:
·       Umur yang lanjut
Kandungan kalsium dalam badan paling tinggi pada umur 30-an dan kandungan ini berkurangan setiap tahun. Selepas menopaus, kandungan kalsium serta ketumpatan jisim tulang menurun dengan banyaknya disebabkan kekurangan hormone wanita.
·       Saiz badan yang kecil
Seseorang yang mempunyai saiz badan yang kecil mempunyai risiko yang tinggi.  Ini disebabkan jumlah kalsium dalam tulang seseorang yang berbadan kecil adalah kurang dari yang berbadan besar.
·       Menopaus atau putus haid pada umur muda
Purata umur wanita mencapai menopaus adalah di sekitar 50 tahun keatas. Jika seseorang wanita itu mencapai menopaus lebih awal, iaitu kurang dari umur 45, risikonya meningkat disebabkan pengurangan hormone estrogen dan kehilangan jisim tulang akan bermula pada umur yang lebih muda.
·       Sejarah keluarga / genetik
Jika keluarga terdekat seseorang wanita itu pernah mengalami patah pinggul disebabkan osteoporosis, maka terdapat kebarangkalian tinggi bahawa wanita itu akan mengalami osteoporosis juga. Tambahan kepada itu, jika wanita itu pernah jatuh dan patah tulang sebelum ini, risiko mendapat patah tulang pada masa hadapan juga akan berganda.
Faktor diatas merupakan risiko-risiko yang tidak dapat diubah disebabkan genetik dan sebagainya. Walaupun begitu, terdapat juga kategori risiko dimana faktor ini dapat diubah dengan pemakanan dan perubahan gaya hidup:
·       Kekurangan pengambilan kalsium
Wanita disyorkan mengambil cukup kalsium dalam diet pada usia muda kerana jumlah kalsium dalam badan akan berkurangan setiap tahun bermula dari umur 30-an. Seorang wanita yang mempunyai jisim tulang yang tinggi pada usia muda boleh menghindari dari  gejala osteoporosis pada usia tuanya. Jumlah kalsium yang disyorkan untuk wanita dewasa adalah dalam lingkungan 800 – 1000 mg. Bagi wanita yang hamil serta yang telah mencapai menopause pula, keperluan kalsium lebih tinggi iaitu mencapai 1200g sehari.
·       Kehidupan yang kurang aktif
Tulang memerlukan stimulasi agar ia dapat membentuk tulang baru dan menambahkan jisim tulang. Aktiviti bersenam contohnya berjalan, bertindak sebagai sejenis stimulasi supaya tulang dapat membina jisim berlebihan
·       Merokok
Selain daripada membawa kepada penyakit jantung dan merosakkan paru-paru, tabiat merokok boleh mendatangkan masalah osteoporosis. Asap rokok adalah toksik kepada sel-sel tulang dan juga melambatkan proses penyembuhan tulang sekiranya berlaku kepatahan.
·       Alkohol
Alkohol mengurangkan penyerapan serta penggunaan kalsium dan Vitamin D oleh tubuh. Wanita yang kerap meminum minuman beralkohol mungkin berkurangan hormone estrogen, lalu meningkatan risiko mendapat masalah osteoporosis.
·       Kafein (kopi)
Kajian telah menunjukkan bahawa meminum kopi dengan kadar yang berlebihan  (lebih dari 3 cawan) sehari boleh membawa kepada masalah osteoporosis.
·       Ubat-ubatan
Sesetengah jenis ubat boleh menyebabkan pengurangan jisim tulang,. Contoh utama adalah penggunaan ubat steroid yang kronik. Ubat – ubatan lain termasuklah penggunaan ubat untuk rawatan penyakit sawan serta ubat untuk mencairkan darah (heparin)
Bagaimanakah osteoporosis dikesan
Sebagaimana yang diterangkan di atas, osteoporosis adalah suatu penyakit yang tidak mempunyai simtom atau gejala. Lazimnya kepatahan tulang merupakan petanda pertama yang seseorang wanita itu mengalami masalah osteoporosis. X ray boleh menunjukkan hadirnya osteoporosis apabila seseorang itu datang berjumpa doktor atas masalah patah tulang ini.
Bagi mereka yang mempunyai risiko untuk osteoporosis, ujian BMD (Bone Mineral Density) boleh dibuat untuk melihat tahap osteoporosis serta risiko untuk mendapat kepatahan tulang kelak. Ia juga boleh digunakan sebagai alat pantauan untuk melihat keberkesanan terapi untuk osteoporosis.
Langkah-langkah pencegahan dan rawatan Osteoporosis
Jika kita perhatikan faktor risiko diatas, perubahan dari segi makanan dan amalan gaya hidup merupakan kunci utama dalam usaha mengurangkan risiko osteoporosis ini.
Amalan gaya hidup sihat yang dimaksudkan adalah dengan mengurangkan atau memberhenti sama sekali amalan menghisap rokok dan meminum minuman beralkohol. Bagi yang suka minum kopi pula, disyorkan tidak meminum lebih dari 2 cawan kopi sehari.
Memakan makanan yang seimbang serta tinggi dalam kalsium adalah digalakkan. Produk tenusu seperti susu, keju dan dadih mempunyai kandungan kalsium yang tinggi, begitu juga dengan bermacam jenis sayuran hijau.
Gaya hidup sihat juga merangkumi aktiviti senaman yang teratur. Aktiviti ini seeloknya memberi tekanan kepada tulang seperti berjalan agar tulang mendapat stimulasi untuk membina jisim tulang.
Bagi wanita yang berisiko tinggi serta mempunyai BMD yang rendah, ataupun wanita yang telah mengalami kepatahan tulang disebabkan osteoporosis, rawatan perubatan adalah disyorkan agar  mengelak dari terjadinya kepatahan tulang pada masa hadapan. Bermacam jenis ubatan berada di pasaran, dan ini merangkumi Terapi Penggantian Hormon, serta ubat-ubatan yang bertindak keatas tulang agar untuk meninggikan jisim tulang. Pesakit wajar berjumpa dengan pakar perubatan bagi menentukan terapi yang paling sesuai untuk pesakit itu sendiri.
Akhir kata, osteoporosis berpotensi menjadi suatu masalah yang serius dan usaha kearah mengesan, mencegah serta rawatan awal dapat mengurangkan risiko kepatahan tulang bagi wanita-wanita khususnya bagi mereka yang di dalam lingkungan umur menopaus.

Friday, February 25, 2011

Osteoporosis dan masalah kepatahan tulang


Osteoporosis.  Saya yakin anda semua sudah biasa mendengar perkataan itu kan? Apakah yang tertera di fikiran anda apabila seseorang menyebut "osteoporosis"? Imej yang selalu kita kaitkan  adalah seorang wanita tua yang bongkok, berjalan dengan menggunakan tongkat (macam nenek kebayan!) 

Osteoporosis dengan sendirinya tidak menimbulkan banyak masalah. Sesungguhnya, osteoporosis, seperti tekanan darah tinggi, selalunya tidak mempunyai simtom atau gejala. Ia hanya tatkala pesakit  terjatuh dan mengalami keretakan atau kepatahan tulang  yang masalah osteoporosis ini timbul.

Ingin saya memberi contoh. Awal minggu ini, saya telah dipanggil untuk ER. Seorang  makcik berumur  85 tahun telah tergelincir dan jatuh di salah satu pasar raya berdekatan sini. Dia tidak dapat berjalan setelah jatuh dan mengadu sakit yang teruk di sebelah pinggul kanan.  Actually, kalau pesakit itu seseorang wanita muda, maybe dalam lingkungan 20-an, beliau tidak akan mengalami apa-apa kecederaan. (okey lah, mungkin ada lebam sedikit dekat punggung ..) Akan tetapi, pesakit ini adalah dari golongan warga tua; dia  mempunyai tulang yang rapuh disebabkan osteoporosis, maka kejatuhan minor ini berkemungkinan tinggi membawa kepada keretakan atau kepatahan tulang. 


Jadi, berbalik kita kepada wanita tua ini.  Selepas bercerita sedikit  dan membuat pemeriksaan yang singkat, saya mengalihkan perhatian saya kepada X-ray beliau. Gambar itu telah mengesahkan apa yang saya syaki sebelum ini: pesakit telah mengalami patah pinggul kanan.

Bagi seseorang yang mempunyai masalah osteoporosis,  lazimnya tulang mengalami patah di tiga tempat yang biasa di badan: Pergelangan tangan, tulang belakang dan pinggul. Antara ketiga-tiga ini, patah tulang  pinggul merupakan masalah yang paling mengaibkan.  Selain daripada menanggung kesakitan, seseorang yang mempunyai masalah patah tulang pinggul biasanya terlantar di katil melainkan pembedahan dilakukan untuk membetulkan keadaan. (Anda masih boleh berjalan jika anda mengalami patah pergelangan tangan, kan?) 

Usia bukan sahaja meningkatkan risiko osteoporosis, tetapi ia juga meningkatkan risiko kejatuhan. Ini adalah kerana warga tua mempunyai faktor tertentu seperti dibawah:
Ubat-ubatan yang mereka makan boleh menyebabkan mengantuk, dan beberapa jenis ubat untuk merawat tekanan darah tinggi boleh menyebabkan kejatuhan sementara tekanan darah ketika mereka bangun dari katil.
Penglihatan yang kabur mungkin menyebabkan kaki mereka tersangkut di lantai ataupun semasa menaiki tangga, terutama  di kawasan-kawasan yang kurang dinyalakan pada waktu malam.
Jisim otot berkurangan sekadar dengan peningkatan umur, dan boleh membawa kepada masalah dalam perseimbangan badan. Begitu juga refleks menjadi lebih perlahan, oleh itu menjadikan ia sukar bagi warga tua untuk membetulkan ketidakseimbangan badan dengan cepat. 

Selepas mendengar cerita diatas, anda mungkin bertanya jika kita boleh melakukan sesuatu tentang perkara ini.  Jika anda tujukan persoalan itu kepada saya, saya akan menyatakan bahawa, selain dari pencegahan dan rawatan osteoporosis , mengurangkan risiko kejatuhan  tidak kurang pentingnya dalam penjagaan seseorang individu yang mengalami osteoporosis dan fakta ini tidak sewajarnya diabaikan.