Showing posts with label Total knee replacement. Show all posts
Showing posts with label Total knee replacement. Show all posts

Saturday, February 19, 2011

SOALAN2 LAZIM MENGENAI PENGGANTIAN SENDI LUTUT (KNEE JOINT REPLACEMENT) BHG 2


BOLEH DOC CERITAKAN SEDIKIT PASAL PEMBEDAHAN INI.

Okay pertama sekali saya perlu tekankan bahawa ini bukan pembedahan yang kecil. Prosedur ini mengambl masa selama lebih kurang satu setengah hingga dua jam. Semasa pembedahan ini, sendi lutut pesakit akan dibuka dan tempurung lutut ditolak ketepi supaya hujung sendi dapat dilihat. Hujung tulang peha (femur) dan tulang betis (tibia) itu dipotong dan hujung yang dipotong itu dipasang dengan lapisan besi. Antara kedua- dua lapisan besi ini diletakkan pelapik plastik supaya sendi tu dapat bergerak dengan licin. Tempurung lutut itu diletakkan kembali dan keseluruhan sendi itu dicuci dan akhirnya dijahit tutup semula.

ADAKAH TERDAPAT RISIKO PEMBEDAHAN?

Seperti mana mana pembedahan, mahupun kecil ataupun besar, semuanya mempunyai risikonya tersendiri. Terpulanglah kepada doctor pakar untuk mengurangkan risiko ini atau menangani masalah itu jika terjadi.
Antara komplikasi utama selepas pembedahan:
  • Sakit ditempat bedahan
  • Perdarahan
  • Jangkitan kuman di luka
  • Darah beku di kaki
Namun begitu,  pada amnya, risiko untuk mendapat komplikasi pembedahan adalah hanya disekitar 1%-5%, dan doktor sentiasa mengambil langkah proaktif untuk menghalang dari wujudnya komplikasi tersebut.

BERAPA LAMAKAH SAYA PERLU BERADA DI HOSPITAL?

Mengikut kebiasaan jika saya menjalankan pembedahan, pesakit akan berada di hospital selama 4 hari 3 malam, iaitu semalam sebelum pembedahan dan dua malam selepas pembedahan. Doktor pakar lain mungkin mempunyai protocol mereka tersendiri.

BILAKAH SAYA BOLEH BERJALAN MACAM BIASA? SEMBAHYANG BAGAIMANA?

Ingin saya menyatakan walaupun bahawa sakit akan berkurangan dalam masa terdekat selepas pembedahan, dan dibenarkan berjalan sejurus selepas keluar hospital (walaupun dengan bantuan tongkat), bengkak di bahagian lutut akan mengambil masa untuk surut. Proses ini mengambil sehingga dua hingga tiga bulan, oleh itu pesakit boleh menjangka akan mendapat berjalan seperti biasa dan bengkok lutut sepenuhnya hanya selepas anggaran dua bulan. Perlu diingatkan bahawa fisioterapi merupakan satu rawatan integral selepas pembedahan dan dapat menolong dalam mengawal bengkak sendi serta meningkatkan pergerakan dalam sendi baru pesakit itu.

Untuk pengetahuan pesakit berugama Islam pula, di pasaran terdapat sesetengah ‘implan’ yang berjanji boleh memberi lutut membengkok sepenuhnya untuk  duduk antara sujud, ataupun bertimpuh dan bersila. Walaupun begitu, factor pesakit, teknik pembedahan, dan terapi selepas pembedahan semua memainkan peranan untuk mencapai matlamat seperti yang dijanjikan. Saya cadangkan bahawa pesakit berbincang dengan doctor pakar tentang perkara ini.

BERAPA LAMA PULAK IMPLAN INI BERTAHAN?

Seperti yang disebut sebelum ini, Implan yang dimasukkan dalam sendi lutut terdiri dari aloi besi dan plastic. Seperti juga sendi asal pesakit, sendi baru ini akan menghadapi  tekanan dari aktiviti rutin harian pesakit dan lama kelamaan akan haus juga. Purata jangka hayat implant ini bertahan adalah dalam jangka masa 20-30 tahun sebelum ia perlu diganti lagi. Jangka hayat ini mungkin berkurangan jika pesakit menjalankan aktiviti lasak yang memberi stress yang tinggi kepada lutut.

Akhir kata, pembedahan gentian lutut ini mampu memberi kualiti kehidupan yang lebih baik kepada pesakit yang mengalami sakit arthritis sendi lutut.






Sunday, February 13, 2011

SOALAN2 LAZIM MENGENAI PENGGANTIAN SENDI LUTUT (KNEE JOINT REPLACEMENT) BHG 1


Saya kerap kali didatangi pesakit yang mengadu sakit lutut, terutama mereka yang berumur lebih dari 50 tahun.
Selalunya saya akan memberi  penerangan mengenai sakit lutut yang dihadapi dan seterusnya memberi kaunseling mengenai apa yang mungkin dihadapi oleh seseorang itu kemudian hari. Dibawah ini saya telah mengumpulkan soalan-soalan yang lazim ditanya di klinik saya:


DOKTOR MENGATAKAN SAYA MENGALAMI MASALAH OSTEOARTRITIS SENDI LUTUT – APAKAH ITU?

“Arthritis” bermaksud  “sakit sendi”.  Terdapat bermacam jenis sakit sendi, namun sakit sendi yang paling lazim dialami  oleh seseorang yang meningkat umurnya  adalah apa yang dinamakan “osteoarthritis”
Di dalam osteoarthritis, disebabkan umur yang lanjut, lapisan rawan yang melapisi hujung sendi menjadi haus, dan dalam keadaan tertentu, lapisan rawan ini terhakis terus sehingga lapisan tulang di bawah akan terdedah kedalam sendi. Hujung tulang yang terdedah akan berlaga antara satu sama lain didalam sendi dan menyebabkan kesakitan.
Osteoartritis juga boleh berlaku jika seseorang itu mengalami kecederaan sendi atau jangkitan kuman di sendi pada masa dahulu atau semasa usia mudanya.

DIA JUGA MENGATAKAN BAHAWA SAYA MUNGKIN PERLU MENJALANI PEMBEDAHAN PENGGANTIAN SENDI LUTUT DI MASA HADAPAN.

Bagi majoriti pesakit yang mengalami ostoeartritis ini, selalunya rawatan awal adalah dengan cara konservatif ( tidak perlu pembedahan): memberi ubat anti inflamatori, fisioterapi, pengurangan berat badan dan juga modifikasi aktiviti. Walaupun begitu, sakit osteoarthritis ini adalah satu penyakit yang progresif – bermakna akan tiba suatu ketika dimana semua rawatan konservatif yang diberikan selama ini tidak lagi berkesan. Oleh itu disarankan bahawa pesakit berbincang dengan pakar ortopedik untuk rawatan selanjutnya.

APAKAH DIA PETANDA MENUNJUKKAN BAHAWA PESAKIT ITU PERLU MENJALANI PEMBEDAHAN INI.
Tujuan utama pembedahan ini adalah untuk mengurangkan sakit di lutut . Jadi, seperti yang diterangkan diatas, pembedahan disarankan jika rawatan konservatif tidak lagi berkesan untuk mengurangkan sakit di lutut.
Seringkali kita dapati pesakit menanggung kesakitan di lutut hampir setiap masa -  tatkala berjalan, naik dan turun tangga dan keluar berjalan.. Sakit ini bukan sahaja menggangu aktiviti rutin harian bahkan juga menggangu tidur seseorang itu.  Pesakit sentiasa memerlukan ubat penahan sakit, hampir setiap hari. Dalam jangka panjang ubat penahan sakit ini boleh memberi kesan sampingan  seperti sakit gastric dan penyakit buah pinggang. Pembedahan ini mampu mengurangkan keperluan ubat penahan sakit ini dan seterusnya risiko kesan sampingan itu.

PERLUKAH SAYA MENJALANI PEMBEDAHAN INI?

Bila diajukan soalan ini, apa yang saya katakan adalah ianya bukan satu prosidur untuk menyelamatkan nyawa, yaitu jika pembedahan tidak dijalanakan, nyawa seseorang itu terjejas. Walaupun begitu, pembedahan ini mampu memberi perubahan kepada kualiti kehidupan seseorang  – dengan mengurangkan sakit di lutut, seseorang itu mampu menjalani aktiviti harian yang tidak dapat dilakukan sebelum pembedahan ini.