Gejala kerapuhan tulang atau osteoporosis
merupakan masalah tulang yang kerap dihadapi oleh golongan wanita. Di Amerika
Syarikat, 10 juta penduduk yang berusia lebih dari 50 mengalami masalah
osteoporosis, dan 80 peratus daripadanya golongan wanita.
Apakah dia Osteoporosis?
Osteoporosis merupakan suatu keadaan
dimana terdapat kehilangan jisim tulang berserta dengan bahan mineral di
dalamnya. Ini selalunya berkait rapat
dengan peningkatan usia dan menopaus di kalangan wanita; walaubagaimanapun,
banyak faktor lain yang boleh menimbulkan masalah osteoporosis seperti yang
kita akan lihat dalam perbincangan di bawah.
Apakah kepentingan osteoporosis ini
Osteoporosis dengan sendirinya tidak
mendatangkan banyak masalah. Sesungguhnya, seperti penyakit darah tinggi, osteoporosis selalunya
tidak menunjukkan gejala atau symptom tersendiri. Disebabkan pengurangan dalam
jisim dan mineral, tulang akan menjadi lebih rapuh dan berisiko tinggi untuk
mengalami kepatahan. Hanya apabila seseorang itu jatuh dan mengalami patah
tulang, barulah ia sedar yang ia mempunyai masalah osteopososis.
Dianggarkan lebih dari separuh daripada
wanita yang berusia 50 tahun keatas akan mengalami patah tulang disebabkan masalah
osteoposrosis. Bagi yang mengalami osteoporosis ini, lokasi utama patah tulang
adalah di pergelangan tangan, di tulang belakang, dan juga di sendi pinggul. Warga
tua yang mengalami patah tulang boleh terlibat dengan bermacam komplikasi.
Patah di sendi pinggul merupakan suatu
yang amat memudaratkan. Pesakit harus dimasukkan ke hospital, dan lazimnya
pembedahan disyorkan untuk membetulkan keadaan patah itu. Selagi pembedahan
tidak dijalankan, pesakit tidak
boleh berjalan, dan disebabkan sakit di pinggul, mereka akan terlantar di katil.
Ini akan menimbulkan bermacam masalah, khususnya jangkitan paru-paru, darah
beku di saluran darah dan kekadang juga luka “bedsore” di belakang badan jika
tidak dirawat dengan teliti. Juga ingin di nyatakan disini bahawa mengikut
statistik, 20% yang mengalami patah tulang pinggul meninggal dunia disebabkan
masalah berkaitan dengan patah tulang tersebut.
Mengapakah wanita lebih kerap mengalami
masalah osteoporosis ini.
Kalsium, seperti kita sedia maklum
merupakan bahan mineral yang penting untuk membina dan menampung kekuatan
tulang. Kandungan kalsium di dalam badan paling tinggi pada peringkat umur 30
tahun dan ianya akan berkurangan setiap tahun. Hormon wanita, iaitu
estrogen, memainkan peranan
penting di dalam metabolisme kalsium dalam badan. Apabila seseorang wanita itu
mencapai peringkat menopaus, kandungan
hormon ini di dalam badan akan berkurangan. Justeru kandungan kalsium
turut berkurangan, dan ini membawa kepada keadaan dimana tulang menjadi rapuh, dikenali
sebagai “post-menopausal osteoporosis” Oleh itu wanita yang putus haid
mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat kepatahan tulang berbanding lelaki
yang sama umur.
Risiko untuk mendapat osteoporosis
Seperti yang kita lihat diatas, wanita
terkandung dalam kategori risiko tinggi mendapat osteoporosis disebabkan
kekurangan hormon semasa putus haid atau menopause. Sungguh pun begitu, ada
lagi factor-faktor di kalangan wanita yang akan meninggikan keberangkalian
mendapat osteoporosis ini:
·
Umur
yang lanjut
Kandungan kalsium dalam
badan paling tinggi pada umur 30-an dan kandungan ini berkurangan setiap tahun.
Selepas menopaus, kandungan kalsium serta ketumpatan jisim tulang menurun
dengan banyaknya disebabkan kekurangan hormone wanita.
·
Saiz
badan yang kecil
Seseorang yang mempunyai
saiz badan yang kecil mempunyai risiko yang tinggi. Ini disebabkan jumlah kalsium dalam tulang seseorang yang
berbadan kecil adalah kurang dari yang berbadan besar.
·
Menopaus
atau putus haid pada umur muda
Purata umur wanita mencapai
menopaus adalah di sekitar 50 tahun keatas. Jika seseorang wanita itu mencapai
menopaus lebih awal, iaitu kurang dari umur 45, risikonya meningkat disebabkan
pengurangan hormone estrogen dan kehilangan jisim tulang akan bermula pada umur
yang lebih muda.
·
Sejarah
keluarga / genetik
Jika keluarga terdekat
seseorang wanita itu pernah mengalami patah pinggul disebabkan osteoporosis,
maka terdapat kebarangkalian tinggi bahawa wanita itu akan mengalami
osteoporosis juga. Tambahan kepada itu, jika wanita itu pernah jatuh dan patah
tulang sebelum ini, risiko mendapat patah tulang pada masa hadapan juga akan
berganda.
Faktor diatas merupakan risiko-risiko
yang tidak dapat diubah disebabkan genetik dan sebagainya. Walaupun begitu,
terdapat juga kategori risiko dimana faktor ini dapat diubah dengan pemakanan
dan perubahan gaya hidup:
·
Kekurangan
pengambilan kalsium
Wanita disyorkan mengambil
cukup kalsium dalam diet pada usia muda kerana jumlah kalsium dalam badan akan
berkurangan setiap tahun bermula dari umur 30-an. Seorang wanita yang mempunyai
jisim tulang yang tinggi pada usia muda boleh menghindari dari gejala osteoporosis pada usia tuanya.
Jumlah kalsium yang disyorkan untuk wanita dewasa adalah dalam lingkungan 800 –
1000 mg. Bagi wanita yang hamil serta yang telah mencapai menopause pula,
keperluan kalsium lebih tinggi iaitu mencapai 1200g sehari.
·
Kehidupan
yang kurang aktif
Tulang memerlukan stimulasi
agar ia dapat membentuk tulang baru dan menambahkan jisim tulang. Aktiviti
bersenam contohnya berjalan, bertindak sebagai sejenis stimulasi supaya tulang
dapat membina jisim berlebihan
·
Merokok
Selain daripada membawa
kepada penyakit jantung dan merosakkan paru-paru, tabiat merokok boleh
mendatangkan masalah osteoporosis. Asap rokok adalah toksik kepada sel-sel
tulang dan juga melambatkan proses penyembuhan tulang sekiranya berlaku
kepatahan.
·
Alkohol
Alkohol mengurangkan
penyerapan serta penggunaan kalsium dan Vitamin D oleh tubuh. Wanita yang kerap
meminum minuman beralkohol mungkin berkurangan hormone estrogen, lalu
meningkatan risiko mendapat masalah osteoporosis.
·
Kafein
(kopi)
Kajian telah menunjukkan
bahawa meminum kopi dengan kadar yang berlebihan (lebih dari 3 cawan) sehari boleh membawa kepada masalah
osteoporosis.
·
Ubat-ubatan
Sesetengah jenis ubat boleh
menyebabkan pengurangan jisim tulang,. Contoh utama adalah penggunaan ubat
steroid yang kronik. Ubat – ubatan lain termasuklah penggunaan ubat untuk
rawatan penyakit sawan serta ubat untuk mencairkan darah (heparin)
Bagaimanakah osteoporosis dikesan
Sebagaimana yang diterangkan di atas,
osteoporosis adalah suatu penyakit yang tidak mempunyai simtom atau gejala.
Lazimnya kepatahan tulang merupakan petanda pertama yang seseorang wanita itu
mengalami masalah osteoporosis. X ray boleh menunjukkan hadirnya osteoporosis
apabila seseorang itu datang berjumpa doktor atas masalah patah tulang ini.
Bagi mereka yang mempunyai risiko untuk
osteoporosis, ujian BMD (Bone Mineral Density) boleh dibuat untuk melihat tahap
osteoporosis serta risiko untuk mendapat kepatahan tulang kelak. Ia juga boleh
digunakan sebagai alat pantauan untuk melihat keberkesanan terapi untuk
osteoporosis.
Langkah-langkah pencegahan dan rawatan
Osteoporosis
Jika kita perhatikan faktor risiko
diatas, perubahan dari segi makanan dan amalan gaya hidup merupakan kunci utama
dalam usaha mengurangkan risiko osteoporosis ini.
Amalan gaya hidup sihat yang dimaksudkan
adalah dengan mengurangkan atau memberhenti sama sekali amalan menghisap rokok
dan meminum minuman beralkohol. Bagi yang suka minum kopi pula, disyorkan tidak
meminum lebih dari 2 cawan kopi sehari.
Memakan makanan yang seimbang serta
tinggi dalam kalsium adalah digalakkan. Produk tenusu seperti susu, keju dan
dadih mempunyai kandungan kalsium yang tinggi, begitu juga dengan bermacam
jenis sayuran hijau.
Gaya hidup sihat juga merangkumi aktiviti
senaman yang teratur. Aktiviti ini seeloknya memberi tekanan kepada tulang
seperti berjalan agar tulang mendapat stimulasi untuk membina jisim tulang.
Bagi wanita yang berisiko tinggi serta
mempunyai BMD yang rendah, ataupun wanita yang telah mengalami kepatahan tulang
disebabkan osteoporosis, rawatan perubatan adalah disyorkan agar mengelak dari terjadinya kepatahan
tulang pada masa hadapan. Bermacam jenis ubatan berada di pasaran, dan ini
merangkumi Terapi Penggantian Hormon, serta ubat-ubatan yang bertindak keatas
tulang agar untuk meninggikan jisim tulang. Pesakit wajar berjumpa dengan pakar
perubatan bagi menentukan terapi yang paling sesuai untuk pesakit itu sendiri.
Akhir kata, osteoporosis berpotensi
menjadi suatu masalah yang serius dan usaha kearah mengesan, mencegah serta
rawatan awal dapat mengurangkan risiko kepatahan tulang bagi wanita-wanita
khususnya bagi mereka yang di dalam lingkungan umur menopaus.
No comments:
Post a Comment